Published On:Rabu, 26 Januari 2011
Posted by Unknown
Gerakan Paderi dan Gejolak Keagamaan di Rantau Pariaman
Penyebaran ide gerakan Paderi ke kawasan pantai barat Sumatra sejak 1820-an menyebabkan “disharmonisasi” kehidupan agama di desa-desa tertentu di Rantau Pariaman. Dalam rencana ini, pengaruh ide gerakan Paderi di Rantau Pariaman cuba ditelusuri melalui biografi Syeikh Daud Sunur, seorang ulama yang berasal dari Rantau Pariaman.
Sejak awal keulamaannya, paham keagamaan Syeikh Daud sudah berseberangan dengan ordo Ulakan yang ortodoks. Syeikh Daud telah mengarang dua buah syair yang terkenal: Syair Mekah dan Madinah atau Syair Rukun Haji (SRH) dan Syair Sunur (SSn). Kedua-dua buah syair ini memberi banyak maklumat tentang perjalanan hidup dan pemikiran keagamaan ulama ini. Dalam SRH, Syeikh Daud mengkritik kaum ulama yang konservatif ordo Ulakan. Syair ini menjadi populer di kalangan kaum pembaharu di Darek, lebihlebih lagi pada bahagian kedua abad ke-19 setelah berkembangnya tarekat Naqsyabandiyah di Minangkabau (Bruinessen 1992: 102). Daripadanya, mereka memperoleh landasan tekstual dan sokongan moral untuk menyerang “Agama Ulakan”. SSn yang diperkatakan dalam rencana ini merakamkan penderitaan jiwa Syeikh Daud, seorang ulama yang banyak menanggung derita jiwa dalam memperjuangkan ide dan keyakinannya.
Dalam SRH, tercermin sikapnya yang menentang taklidisme dalam beragama. Jika SRH adalah reaksi Syeikh Daud kerana kalah berdebat dengan Tuanku Syeikh Lubuk Ipuh, maka SSn adalah rakaman dari efek psikologis yang dideritainya akibat kekalahan itu. Berbeza dengan autobiografi klasik yang lain dari Minangkabau tentang kejayaan, misalnya kisah hidup Nakhoda Muda (Drewes 1961) atau Muhammad Saleh Datuk Orang Kaya Besar, SSn lebih banyak mengisahkan kegagalan Syeikh Daud. Berbeza dengan kebanyakan ulama yang terkenal kerana banyak pengikut dan pahlawan kerana memimpin gerakan melawan penjajah, Syeikh Daud menjadi terkenal kerana cerita “kekalahannya”. Sudah lama diketahui bahwa kajian historis mengenai konflik agama di Minangkabau memberi penekanan pada wilayah Darek. Bagaimana persisnya dinamika hubungan keagamaan antara wilayah rantau barat (khususnya Rantau Pariaman) dengan Darek pada periode Perang Paderi masih belum jelas.
Pembicaraan masalah ini oleh pengkaji-pengkaji terdahulu masih bersifat permulaan. Kebanyakan mereka berpijak pada ungkapan adat Minangkabau yang sudah terlalu sering diulang: Adaik manurun, syarak mandaki (adat menurun, syarak mendaki), maksudnya adat disosialisasikan dari Darek/ dataran rendah, antara lain ke Pariaman; syarak (agama) disosialisasikan dari daerah pantai [Ulakan] (dataran rendah ke dataran tinggi Minangkabau).
Melalui kajian 102 Sari 23 ini, jelaslah efek sebaliknya juga terjadi pada suatu masa dalam sejarah Minangkabau: ide agama dari pedalaman dicoba tularkan ke wilayah pantai. Kisah hidup Syeikh Daud menggambarkan percubaan penetrasi dan perluasan ide “pemurnian” agama yang tercetus di Darek ke wilayah Rantau Pariaman yang masyarakatnya kosmopolitan, bersifat terbuka dan cenderung sinkretis dalam menjalankan agama.
Dari kisah hidup Syeikh Daud itu dapat ditarik kesimpulan bahawa sepanjang bahagian pertama abad ke-19, ide pemurnian agama Kaum Paderi mengalami kesulitan menembusi konservatisme agama masyarakat Pariaman. Ketika melihat radikalisme agama yang tumbuh subur di Darek pada masa Paderi dan pertentangan yang diperlihatkan Rantau Pariaman dengan penduduknya yang sudah lebih dahulu memeluk Islam, penulis ini sependapat dengan Jeroen Peeters yang mengatakan reformasi (agama) lebih banyak berhasil di daerah yang hanya sedikit dipengaruhi tahap proses Islamisasi yang terdahulu (1997: 242). Walaupun segolongan kecil ulama muda asal pantai (Rantau Pariaman) sendiri (setelah belajar ke Darek) mulai bersikap kritis terhadap “Agama Ulakan”, tetapi mereka tidak mampu meruntuhkan otoritas pusat tarekat Shattâriyah itu.
Sampai berakhirnya Perang Paderi, masyarakat Rantau Pariaman masih cukup teguh mengamalkan “Agama Ulakan”. Pertentangan yang mereka tunjukkan terhadap ide Kaum Paderi membentuk enclave di pinggir sebuah wilayah luas di tengah Pulau Sumatra yang hampir sepanjang abad ke-19 dilanda euforia “pembaharuan agama”.
Sumber:Suryadi. 2004. Syair Sunur; Teks dan Konteks ‘otobiografi‘ Seorang Ulama Minangkabau Abad ke-19, Padang: YDIKM & Citra Budaya. Rating: 4.5
Description: Gerakan Paderi dan Gejolak Keagamaan di Rantau Pariaman
Reviewer: Unknown
ItemReviewed: Gerakan Paderi dan Gejolak Keagamaan di Rantau Pariaman